Nama Arafeeq tidak lahir secara kebetulan. Ia diambil daripada satu makna yang disebut dalam al-Quran — sahabat, teman seperjalanan yang baik, yang saling menguatkan dalam urusan dunia dan akhirat.
Ar-rafīq membawa maksud sebaik-baik teman. Daripada makna inilah, Arafeeq dibina — bukan sekadar sebagai pasukan kerja, tetapi sebagai sahabat dalam amanah.

Siapa Arafeeq?
AArafeeq ialah sekumpulan enam orang wanita, datang daripada latar belakang dan kemahiran yang berbeza, namun saling melengkapi antara satu sama lain.
Majoriti ahli Arafeeq berada di sekitar Selangor dan Lembah Klang, manakala seorang lagi berada di Kuantan, Pahang. Walaupun berada di lokasi berbeza, kesemuanya berkongsi nilai yang sama dalam kerja pendidikan dan komuniti.
Kesemua kami merupakan ahli Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia, dan daripada ruang inilah hubungan ini mula berkembang dengan lebih tersusun.
Untuk mengenali dengan lebih dekat siapa di sebalik Arafeeq, latar belakang dan peranan setiap ahli pasukan, anda boleh membaca di halaman About Arafeeq di website kami:
👉 https://arafeeq.com/about/
Pertemuan Yang Menjadi Titik Mula
Langkah awal yang menyatukan kami berlaku apabila ketua pasukan, Puan Nazrah, mengajak ahli SRR untuk menyertai TOTIQ batch 3.
Ketika itu, Puan Nazrah merupakan alumni TOTIQ Batch 2. Daripada lima orang yang belum pernah menyertai TOTIQ, tiga hati terpanggil untuk melangkah bersama iaitu Puan Emme, Puan Aifa dan Puan Anisah yang telah menyertai TOTIQ Batch 3 pada tahun 2024.
Di sinilah hubungan mula dibina bukan sekadar sebagai kenalan, tetapi sebagai rakan belajar dan rakan berkhidmat.
Dari Sukarelawan Ke Arafeeq
Segalanya bermula dengan langkah kecil. Pada awalnya, kami hanyalah urusetia dan sukarelawan akademik yang menimba pengalaman serta ilmu di bawah seliaan Ustaz Muhammad Bokhari dan Fazrul Ismail dari Akademi Sinergi Ikhlas.
Gandingan kami sebagai satu pasukan penganjur mula terbina dengan lebih kukuh menerusi program Amazing Iqro kendalian Ustaz Ambya Abu Fathin. Menariknya, ketika itu kami mengamalkan konsep belajar sambil berkhidmat — mengurus kelancaran program sambil membina kefahaman terhadap modul yang dipelajari.
Walaupun bermula dengan kumpulan yang lebih besar, akhirnya enam orang ahli teras kekal bersama hingga kini. Dengan komitmen yang berterusan, kami berdiri sebagai satu pasukan yang saling menyokong, berusaha memastikan setiap program yang dianjurkan berjalan dengan tertib dan mencapai kualiti terbaik.
Amanah Dalam Kerja NGO & Pendidikan
Selain bergerak sebagai Arafeeq, kami juga memikul amanah secara aktif dalam kerja NGO dan pendidikan. Kesemua ahli Arafeeq merupakan AJK aktif Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia bagi penggal 2023–2025.
Terkini, empat orang daripada tim Arafeeq telah diberi kepercayaan sebagai urusetia Yayasan Ummi Malaysia bagi pengajian TOTIQ Batch 4, dan akan datang Batch 5. Perjalanan ini memperlihatkan satu kesinambungan yang jelas — daripada peserta, kepada sukarelawan, seterusnya menyokong sistem pembelajaran al-Quran dengan lebih tersusun.
Program Yang Telah Dilaksanakan
Arafeeq terlibat dalam pengurusan dan sokongan program secara fizikal, dalam talian dan hybrid, antaranya:
- Amazing Iqro
- Amazing Arabic
- Amazing Tajwid
- Amazing Nahu
- Khadijah Summit 2025
(27 Disember 2025)
Setiap program adalah ruang pembelajaran — bukan sahaja untuk peserta, tetapi juga untuk kami sebagai pasukan.
Penutup
Arafeeq bukan dibina atas nama besar atau struktur yang rumit. Ia dibina atas persahabatan, nilai, dan amanah yang dipelihara bersama.
Kami percaya, kerja yang baik lahir daripada sahabat yang saling melengkapi, dan sistem yang dibina dengan niat yang betul.
Dan begitulah Arafeeq bermula.
Melangkah Ke Hadapan: Program Arafeeq 2026
Perjalanan Arafeeq tidak berhenti pada apa yang telah dilalui. Dengan izin Allah, amanah ini diteruskan melalui beberapa program yang dirancang untuk tahun 2026 — sebagai ruang pembelajaran, pengukuhan keluarga dan pembangunan insan.
Antara program yang bakal berlangsung ialah:
- Amazing Hafazan
Program fizikal 2 hari
📅 24–25 Januari 2026 - Asas Ruqyah Diri & Keluarga
8 siri dalam talian
📅 Februari – Mei 2026 - Amazing Mom To Be
5 siri hybrid
📅 April – Ogos 2026 (maklumat lanjut akan diumumkan) - Konvensyen Keluarga Arafeeq
📅 Jun 2026 (akan datang)
Setiap program ini dirancang dengan satu tujuan yang sama — membina individu dan keluarga yang lebih sedar, berilmu dan tersusun dalam kehidupan.

Seperti mana permulaan Arafeeq yang dibina atas persahabatan dan amanah, langkah seterusnya juga kami harapkan berjalan dengan nilai yang sama.
“…dan mereka itu menjadi rafiq yang sebaik-baiknya.”
(An-Nisa’: 69)
Semoga Allah terus menghimpunkan kami — dan sesiapa sahaja yang bersama perjalanan ini — sebagai sahabat dalam ketaatan, dan rakan dalam menyebarkan manfaat.